Sunday, 11 January 2015

SAHABAT DAN KAWAN

Tajuk entry kali ini adalah berkisar mengenai sahabat. Ramai orang terlepas pandang (termasuk diri ini) mengenai tanggungjawab seorang sahabat atau kawan. 

Apa beza sahabat n kawan?
*sahabat taraf dia tinggi daripada seorang kawan*

Kata orang, untuk menilai peribadi seseorang itu, lihatlah dengan siapa dia berkawan. 
Jika baik rakannya, maka kemungkinan baiklah perangainya.
Bahkan, rasulullah S.A.W. sendiri pernah bersabda:

“Sesungguhnya sahabat yang soleh itu umpama penjual minyak wangi. Jika kita tidak membeli darinya, tetap kita akan menghidu bau wangi darinya. Sedangkan sahabat yang jahat pula, umpama tukang besi. Walaupun tidak terkena percikan api, tetap kita merasai bahang panas dan terhidu bau busuk darinya”.


Sahabat yang soleh menyenangkan hati kita pabila melihat dirinya umpama minyak wangi yang mengeluarkan bau harum. Manakala, sahabat yang jahat adalah sebaliknya. 
*kalau jahat, tak guna istilah sahabat*




Ini tidak bermakna kita harus menjauhi sejauh-jauhnya daripada  sahabat yang tidak baik itu. Kita dibenarkan berkawan dengan sahabat sedemikian asalkan kita tidak terikut/terpengaruh dengan sikapnya. Adalah menjadi TANGGUNGJAWAB seorang Muslim untuk menyebarkan kebaikan, sesuai dengan konsep amar ma'aruf nahi mungkar. Jangan pula nanti sahabat yang tidak baik itu MENUNTUT haknya di akhirat. Silap-silap kaki kita ditarik oleh mereka ketika hendak melangkah ke syurga.



Tugas menyebarkan kebaikan kepada insan lain ini tidak dinafikan adalah BERAT. Jangan ingat semua orang akan suka. Kadang-kadang, kawan rapat sendiri yang terang-terangan membuat dosa memang sukar untuk diberi teguran. Contoh, tidak menunaikan solat fardu. Memang sukar untuk ditegur, apatah lagi memikirkan implikasi terhadap hubungan persahabatan sekiranya sahabat berkecil hati dengan teguran yang diberi. Sahabat yang menegur hendaklah sentiasa bermanis muka dan menunjukkan contoh yang baik dalam memberi teguran. Teguran hendaklah diberi bertujuan untuk membetulkan dan dilakukan secara personal untuk tidak menjatuhkan air muka sesiapa. Di samping kita menegur sahabat yang tidak baik itu, kita perlu sentiasa berdoa agar Allah membuka hati sahabat yang ditegur untuk menerima teguran dan berubah ke arah kebaikan. InsyaAllah, kita telah berjaya menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.



Berikut adalah beberapa adab berkawan:
  • Mengasihi saudara sesama Islam semata-mata kerana  Allah
  • Mengucapkan salam bila bertemu.
  • Sentiasa menziarahi terutamanya ketika sakit.
  • Sentiasa mendoakan
  • Menolong ketika kesempitan.
  • Memenuhi jemputan
  • Saling memberi hadiah.
  • Tidak memutuskan silaturrahim dan memulaukan.
  • Bertolak ansur dan saling memaafkan.
  • Bermanis muka bila bertemu.
  • Husnudzon (bersangka baik).
  • Jujur dan ikhlas inginkan kebaikan sesama Islam.


Dalam menjaga hubungan persahabatan, bermacam-macam dugaan pasti terjadi. Allah pasti menguji hubungan persahabatan tersebut dengan pelbagai ujian. Oleh itu, persahabatan yang baik memerlukan perhatian dari kita yang sewajarnya dengan menjaga adab-adab dalam berkawan. Sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:



  “Janganlah kamu saling putus-memutus hubungan, janganlah kamu saling berpaling tadah, janganlah kamu saling benci-membenci, janganlah kamu saling berhasad dengki. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Dan tidaklah halal bagi seorang muslim berpaling dari saudaranya lebih dari tiga hari”. 
(HR Bukhari dan Muslim)



Iman kita akan sentiasa turun dan naik. Adakalanya kita mudah untuk melakukan kebaikan dan adakalanya kita begitu liat untuk melakukan kebaikan lantas mudah terpedaya dengan hasutan syaitan. Istilah "putus kawan" mudah dilafazkan ketika emosi sedang marah. Oleh itu, perkara paling berpengaruh dalam menarik kita kembali ke jalan Allah adalah hubungan persahabatan yang dibina kerana mencari redhaNya. Disebabkan persaudaraan sesama Islam ini menjadi luar biasa jika ianya diikat kerana Allah, perkara pertama yang dilakukan oleh rasulullah S.A.W ketika berhijrah ke Madinah adalah menyatukan golongan Ansar dan Muhajirin. Firman Allah yang bermaksud:


  “Dan yang mempersatukan hati mereka(orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua kekayaan yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. (Al-Anfaal:63)



Allah pasti menganugerahkan kemanisan dan kekuatan ukhwah yang dijalinkan kerana Allah. Kita sememangnya bertuah jika mempunyai sahabat yang sedemikian. Jangan mempersia-siakan sahabat kita kerana mereka boleh menarik kita ke syurga Allah, dan mereka juga boleh menarik kita ke neraka dengan tuntutan hak yang tidak kita tunaikan.



Sekian dahulu untuk kali ini. Semoga bermanfaat.
Wassalam

KITA UMAT AKHIR ZAMAN?

"Rasulullah merindui umat akhir zaman" .....****

Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.

Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna. "Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara:

"Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’ baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.

"Malaikat," jawab sahabat.

"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah, sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah. Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, " Para nabi."

"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."

"Mungkin kami," celah seorang sahabat.

"Bagaimana kamu tidak beriman, sedangkan aku berada ditengah-tengah kamu," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu. Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

Begitulah nilaian Tuhan. Bukan jarak dan masa yang menjadi ukuran. Bukan bertemu wajah itu syarat untuk membuahkan cinta yang suci. Pengorbanan dan kesungguhan untuk mendambakan diri menjadi kekasih kepada kekasih-Nya itu, diukur pada hati dan buktikan dengan kesungguhan beramal dengan Sunnahnya.

Pada kita yang bersungguh-sungguh mahu menjadi kekasih kepada kekasih Allah itu, wajarlah bagi kita untuk mengikis cinta-cinta yang lain. Cinta yang dapat merenggangkan hubungan hati kita dengan baginda Rasulullah.

Selawat & salam buat junjungan mulia Rasulullah.s.a.w..."Berselawatlah untukku satu kali, maka Allah akan berselawat untuk nya 10 kali” hadis riwayat muslim(1/288, no.384)

Sabda Nabi SAW “ Dari Ibnu Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Orang yang terdekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” (Hadis Riwayat At-Tarmidzi)

Sabda Nabi SAW : “ Dari Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : Janganlah kamu jadikan kuburku sebagai tempat perayaan dan berselawatlah kepadaku , maka sesungguhnya bacaan selawatmu itu akan sampai kepadaku dimana sahaja kamu berada .“ (Hadis Riwayat Abu Daud)

Ketika berjumpa sahabat handai atau saudara mara sesama Islam . Sabda Nabi s.a.w : “ Tiadalah dua hamba yang saling cinta mencintai kerana Allah yang berjumpa salah seorang yang lain lalu berjabat tangan ( bersalam ) dan berselawat kepada Nabi s.a.w . melainkan Allah mengampuni dosanya sebelum mereka berpisah , baik yang telah lalu ataupun yang akan datang.“ (Hadis riwayat Ibnu Sunni)

Ketika akan memulakan sesuatu pekerjaan yang baik atau penting . Sabda Nabi s.a.w : “ Setiap pekerjaan yang baik yang tidak dimulai dengan hamdalah (memuji Allah) dan selawat , maka pekerjaan atau urusan itu terputus dan hilang barkahnya.“ (Hadis Riwayat Ar-Rahawi)

Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi s.a.w . Sabda Nabi s.a.w : “ orang yang bakhil itu adalah orang yang tidak mahu berselawat ketika orang menyebut namaku di sisinya.“ (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Ketika telinga berdengung . Sabda Nabi s.a.w : “ Jika telinga salah seorang dari kamu berdengung , maka hendaklah ia mengingati dan berselawat kepadaku.“ (Hadis Riwayat Ibnu Sunni)

Ketika mengalami kesusahan dan kebimbangan. Diberitakan oleh Ubay bin Kaab r.a. bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, ujurnya : “ Ya Rasulullah bagaimana pendapat engkau sekiranya aku jadikan selawat untuk engkau semua? Jawap Rasulullah s.a.w “ Kalau demikian Allah akan memelihara engkau baik mengenai dunia mahu pun mengenai akhiratmu.“ (Hadis Riwayat Ahmad)

Setiap waktu pagi dan petang . Sabda Nabi s.a.w : “ Barang siapa berselawat kepadaku waktu pagi sepuluh kali dan waktu petang sepuluh kali , maka ia akan mendapat syafaatku di hari kiamat.“ (Hadis Riwayat Thabarani)

Berdasarkan dari hadis-hadis diatas, jelas bahawa membaca selawat kepada Nabi s.a.w adalah suatu dari rangkaian iman dan ibadah yang wajib disempurnakan oleh kaum Muslimin dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan. Semoga dengan sentiasa berselawat ke atas Nabi, Allah akan memberi rahmat dan keberkatan dalam kehidupan kaum Muslimin.


Fadilat Selawat - untuk renungan

Rasulullah SAW telah bersabda bahawa, "Malaikat Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail A.S. telah berkata kepadaku. Berkata Jibril A.S. : "Wahai Rasulullah, barang siapa yang membaca selawat ke atasmu tiap-tiap hari sebanyak sepuluh kali, maka akan saya bimbing tangannya dan akan saya bawa dia melintasi titian seperti kilat menyambar."

Berkata pula Mikail A.S. : "Mereka yang berselawat ke atas kamu akan aku beri mereka itu minum dari telagamu."

Berkata pula Israfil A.S. : "Mereka yang berselawat kepadamu akan aku sujud kepada Allah S.W.T dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah S.W.T mengampuni orang itu."

Malaikat Izrail A.S pula berkata : "Bagi mereka yang berselawat ke atasmu, akan aku cabut ruh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti aku mencabut ruh para nabi-nabi."

Apakah kita tidak cinta kepada Rasulullah S.A.W.? Para malaikat memberikan jaminan masing-masing untuk orang-orang yang berselawat ke atas Rasulullah S.A.W.

Ayuh jangan kita melepaskan peluang untuk berselawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. Mudah-mudahan kita menjadi orang-orang kesayangan Allah, Rasul dan para malaikat.

Amin Ya Rabbal Alamin.