Sunday, 29 June 2014

PERISTIWA YANG BERLAKU PADA BULAN RAMADAN

            ASSALAMUALAIKUM W.B.T.           

        Alhamdulillah, Ramadan datang lagi. Marilah kita bersama- sama menghayati
            peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadan Al-Mubarak.        


Selain turunnya wahyu Allah yang pertama di bulan Ramadhan, terdapat beberapa peristiwa besar yang juga berlaku dibulan yang penuh dengan barakah ini. Ketika dahulu, umat Islam yang merupakan umat yang disanjung tinggi dari timur ke barat, kerana terlimpahnya rahmat Allah kesan dari penerapan Islam dalam kehidupan mereka. Namun begitu, pada masa sekarang, setelah runtuhnya entiti penyatuan umat Islam, iaitu Khilafah pada 27 Rejab 1342H (3 Mac 1924), umat Islam dirundung penyakit yang semakin parah. Semoga Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan terakhir bagi umat Islam berpuasa tanpa Khilafah.


Berikut merupakan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadhan:


17 Ramadhan 2H

Perang Badar Al-Kubra

Rasulullah SAW berangkat dari Madinah pada 8 Ramadhan. Ibnu Hisyam menyatakan bahawa perang ini merupakan kemenangan pertama yang menentukan kedudukan umat Islam dalam menghadapi kekuatan kemusyrikan dan kebatilan. Allah SWT telah mengutuskan segerombolan malaikat untuk membantu pasukan muslimin menghancurkan pasukan musyrik. Perang ini berlaku pada pagi Jumaat, 17 Ramadhan 2H di Badar. Kemenangan lebih kurang 300 orang  tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah ini yang telah megalahkan lebih kurang 1000 orang tentera musyrikin Mekah.


Ramadhan 5H


Persiapan Perang Khandaq


Persiapan dilakukan dengan mengali parit (khandaq) sekeliling kota Madinah. Tipu muslihat ini tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab. Ia diusulkan oleh Salman Al-Farisy. Peperangan ini terjadi pada bulan Syawal dan berakhir pada bulan Dzulkaedah setelah pasukan muslimin berjaya memecahkan belahkan pasukan musuh. 


20 Ramadhan 8H


Futuhul Makkah (Pembukaan Kota Mekah) dan Penghancuran Berhala


Rasulullah SAW keluar dari Madinah pada 10 Ramadhan dan berpuasa, lalu diikuti para sahabat. Baginda berbuka di suatu tempat yang dipanggil Mukadid (antara Asfan dengan Amjad). Mekah jatuh ke tangan kaum muslimin tanpa pertumpahan darah. Setelah penaklukan Mekah, Rasulullah tinggal di kota itu selama 15 malam dengan melakukan sembahyang qasar. Menurut Ibnu Ishaq, penaklukan itu terjadi pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Rasulullah mengutuskan Khalid al-Walid untuk menghancurkan berhala Uzza, Amr bin Ash merobohkan Suwa’, dan Saad bin Zaid Al-Asyhaly menumbangkan Manat. 


Ramadhan 9H 


Perang Tabuk


Rasulullah SAW tidak mendapati tentera Rom lalu kembali ke Madinah.


Utusan Thaif


Utusan Thaif datang ke Madinah untuk masuk Islam dan pada ketika itu juga mereka terus melaksanakan kewajiban-kewajiban dan melaksanakan puasa disana.


Utusan Raja Himyar


Utusan Raja Himyar datang ke Madinah untuk menyatakan kemasukan Islam. Rombongan tersebut diterima dan dimuliakan oleh Rasulullah SAW. Beliau kemudian menulis batas-batas hak dan kewajiban mereka dalam bentuk dokumen bertulis. 


Ramadhan 10H 


Rasulullah SAW mengutuskan sepasukan tentera dibawah pimpinan Saidina Ali Karamallahu wajhah ke Yaman dengan membawa surat Nabi. Satu suku kaum yang berpengaruh di Yaman terus menerima Islam dan masuk Islam pada hari itu juga. Mereka bersembahyang berjamaah bersama Imam Ali ra. pada hari itu.


Ramadhan 53H 


Kemenangan tentera Islam di Rhodesia.


Ramadhan 92H 


Islam telah tersebar dan membuka kawasan- kawasan baru sehingga ke Afrika Utara, Iran, Afghanistan, Yemen dan Syria. Spanyol di bawah kekuasaan Raja Rhoderic of the Visigoths. Musa ibn Husair,  Wali Khilafah Ummayyah di Utara Afrika, bersama-sama dengan Paglima tentera Islam, Tariq Ziyad yang megetuai 12 000 tentera Islam berdepan dengan tentera kuffar seramai 90 000 yang diketuai sendiri oleh Raja Rhoderic. Antara peristiwa yang memotivasikan tentera- tentera Allah ini semasa perang ini ialah, apabila Tariq bin Ziyad mengarahkan tenteranya membakarkan kapal- kapal perang mereka sebelum bertempur dengan tentera Raja Rhoderic. Beliau berkata, ”Sesungguhnya, syurga Allah terbentang luas di hadapan kita, dan dibelakang kita terbentangnya laut. Kamu semua hanya ada dua pilihan, sama ada mati lemas, ataupun syahid”. Pasukan tentera ini bukan sahaja telah mengalahkan tentera-tentera kuffar pimpinan Raja Rhoderic, malah telah mampu membebaskan keseluruhan Sepanyol, Sicily dan sebahagian Perancis. Di sini, bermulanya zaman keemasan Islam di Andalus, dengan Islam menguasainya selama 700 tahun.


Ramadhan 129H 


Kemenangan dakwah Bani Abbas di Khurasan dibawah pimpinan Abu Muslim Al-Khurasany.


Ramadhan 584H 

Panglima tentera Islam, Salahuddin Al-Ayyubi mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salib. Tentera Islam menguasai daerah-daerah yang sebelumnya dikuasai oleh tentera Salib. Ketika bulan Ramadhan, penasihat-penasihat Salahuddin menyarankan agar dia berehat kerana risau ajalnya tiba. Tetapi Salahuddin menjawab "Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam". Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas Benteng Shafad yang kuat. Peristiwa ini berlaku pada pertengahan bulan Ramadhan.

Ramadhan 658H 


Semasa kemasukan tentera tartar di Baghdad, yang merupakan pusat pemerintahan Islam pada masa tersebut, tentera Tartar telah membunuh 1.8 juta kaum Muslimin. Selain itu, mereka mengarahkan penduduk Kristian supaya makan babi dan meminum arak secara terbuka dijalanan dan memaksa kaum muslimin turut serta. Azan turut dilarang daripada dilaungkan dan masjid- masjid disirami dengan arak oleh tentera- tentera Tartar yang biadap ini. Kecelakaan ini disambut oleh Saifudin Qutuz, pemerintah Mesir ketika itu dengan mengumpulkan semula kekuatan kaum muslimin untuk meghancurkan tentera Tartar dan bertembung dengan mereka pada Jumaat, 25 Ramadhan 658H di Ain Jalut. Peperangan ini turut disertai oleh isteri Sultan Saifudin Qutuz, Jullanar yang akhirnya syahid di medan pertempuran. Semasa beliau nazak, Saifudin Qutuz memapahnya dan berkata ”Wahai Kekasihku”. Ini dibalas oleh Jullanah dengan mengatakan, ”Janganlah kamu berkata demikian. Kasih lagilah kamu terhadap Islam”. Setelah itu, tentera- tentera ini terus berjihad, dan kemenangan di raih oleh Islam di depan pintu gerbang Mesir di Kota Ain Jalut.










Thursday, 12 June 2014

BULAN SYA'BAN

                                                   

                                 
                                   
Syaaban membawa maksud berpecah-pecah. Ada yang berpendapat, ini kerana pada ketika itu, bangsa Quraisy terpaksa berpecah-pecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari air di padang pasir. Ada pula yang berpendapat ia membawa maksud pemisah kerana Syaaban adalah pemisah antara bulan Rejab dan Ramadhan.
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Rasulullah s.a.w menjawab, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).
Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan. Bulan Syaaban dianggap merupakan bulan yang baik untuk kita meminta keampunan daripada Allah, serta memperbaiki diri dari segala macam cela. Dan bersedia untuk bulan Ramadhan yang menyuci dan membersihkan jiwa kita.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud “Keutamaan bulan Syaaban ke atas bulan-bulan yang lain adalah seperti keutamaan aku di atas semua nabi-nabi yang lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhlukNya.”
                                            
Beramal di dalam Nisfu Syaaban sama nilainya seperti beramal 400 tahun. (Hadis)
Amalan-amalannya seperti:
  • Solat berjemaah 5 waktu
  • membaca Surah Yassin sekurang-kurangnya sekali selepas solat Maghrib.Lebih baik 3 kali  dan berdoa: supaya ditetapkan iman, minta dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki yang halal.
  • Membaca surah-surah tertentu: Surah Al-Kahfi, Surah Al-Sajjadah, Al-Waqi'ah, Surah Al-Mulk, Surah AL-Muzamil dan Surah Al-Duhan.
  • Berzikir seberapa banyak yang mungkin.
NANTIKAN KEMUNCULAN RAMADHAN AL MUBARAK .....

Wednesday, 11 June 2014

Boleh Makan Berdiri?

ASSALAMUALAIKUM W.B.T.

"Tekak berasa haus. Kaki berjalan laju menuju ke destinasi. Tangan mencapai sebotol air mineral lalu meneguk dengan habis sekali gus. Serta-merta rasa haus itu hilang, namun perut berasa sedikit demi sedikit senak dan kembung. Kaki terus mengorak menuju ke destinasi kerana waktu agak suntuk. Tidak ada masa untuk berfikir apa yang sedang berlaku di dalam perutnya."
         Makan dan minum sambil berdiri sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita pada hari ini, bahkan ada yang melakukannya sambil berjalan atau berlari. Orang tua sering melarang kita melakukannya. Mungkin kita menganggap ia sebagai satu nasihat biasa yang tidak lebih untuk menjaga adat dan juga kesopanan.

           Memang benar, dari kaca adat, kelakuan ini dilihat sebagai tidak senonoh. Namun, dari kaca mata agama, Islam melarang perbuatan yang sudah menjadi amalan masyarakat kita pada zaman yang serba cepat ini. 

       Dalam riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Janganlah ada diantara kalian bersungguh-sungguh minum sambil berdiri, sesiapa yang lupa maka hendaklah dia memuntahkannya."

        Dalam riwayat Muslim lagi, daripada Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w melarang seseorang itu minum sambil berdiri, kemudian kami bertanya, "Bagaimana kalau makan?" Baginda berkata, "Demikian itu lebih jelik dan buruk."

        Tentu sekali ada hikmahnya Islam melarang manusia melakukan perkara tersebut. Setiap perkara yang dilarang oleh Islam pasti ada hikmahnya.


Antara keburukan makan atau minum sambil berdiri dari kaca mata kesihatan ialah:
  • Apabila berdiri,saraf-saraf manusia berada dalam keadaan tegang. Ia sedang bekerja keras untuk memastikan kedudukan otot stabil agar tubuh tidak jatuh semasa berdiri. Ini melibatkan kombinasi banyak sistem saraf yang mengkoordinasi dengan sistem otot termasuklah sistem saraf dalam usus.
  • Makan atau minum sambil berdiri juga boleh merangsang saraf yang mengawal perut iaitu 'vagus nerve' (10th cranial nerve). Urat ini juga berfungsi untuk memperlahankan jantung. Rangsangan 'vagus nerve' ini boleh menyebabkan jantung menjadi perlahan atau menyebabkan seseorang pesakit itu boleh jatuh pengsan atau pitam seketika. Bagi pesakit jantung, ia boleh membawa maut!
  •  Selain itu, boleh menyebabkan luka atau 'ulcer' pada perut. Makanan dan minuman yang masuk apabila berdiri akan menghentam dengan keras dinding usus seseorang menyebabkan 'ulcer' atau luka berlaku. Kajian perubatan mendapati 95% luka perut belaku pada tempat yang biasa berlakunya perlanggaran antara makanan dan dinding perut.
  • Makan atau minum sambil berdiri boleh menyebabkan kerosakan pada salur pencernaan. Apabila berdiri, makanan dan minuman akan jatuh dengan deras ke dalam salur pencernaan. Jika hal ini berlarutan, ia akan menyebakan usus jatuh dan hilang sebahagian fungsinya.
            
             Kesimpulannya, makan dan minum sambil duduk lebih sihat , lebih selamat dan lebih sopan kerana apa yang diminum atau dimakan seseorang akan berjalan pada dinding usus dengan perlahan dan lembut. Wallahuaklam.