Sunday 11 January 2015

Menjadi insan cemerlang

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap mukmin akan bercita-cita untuk menjadi insan cemerlang dan terbaik. Tetapi bukannya mudah untuk terpilih menjadi orang terbaik kerana untuk menjadi yang terbaik bukanlah dinilai dari ukuran manusia semata-mata, tetapi ukuran itu ditetapkan sendiri oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala melalui ucapan Nabi SAW. 

Terdapat lapan golongan manusia seperti yang dinyatakan oleh Nabi SAW.

Golongan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Tidak ingkar untuk membayar hutang.

Mereka yang membantu saudaranya yang susah lalu memberikan hutang adalah satu perbuatan yang mulia di sisi Allah SWT.Memberi hutang lebih besar ganjaran pahalanya daripada bersedekah . Mengenai kebaikan memberi pinjaman dan sedekah kepada mereka yang memerlukan, firman Allah SWT ialah “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki), dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.” – (Surah al-Baqarah ayat 245) 

Begitu juga hadis Nabi SAW menyatakan: “Pada malam aku diisra’kan (Mikraj) aku melihat tulisan di atas pintu syurga, ‘Pahala sedekah ialah 10 kali ganda dan pahala memberi hutang ialah 18 kali ganda‘. Aku bertanya Jibril kenapa memberi hutang lebih banyak pahalanya daripada sedekah? Jawabnya, kerana orang yang meminta sedekah dalam keadaan meminta sedangkan dia mempunyai harta. Sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjaman kecuali kerana sesuatu keperluan” (Hadis Riwayat Ibn Majah dan Baihaqi).  

Sesiapa yang berhutang kerana keperluan hidup sedangkan hatinya berniat untuk membayar balik maka hutangnya akan dipermudahkan oleh Allah SWT.

Sabda Nabi SAW :

من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه الله

Maksudnya : "Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" ( Hadis Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan :

 عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عن رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أنه فَقَالَ « خَيْرُكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً » متفق عليه

Maksudnya: Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu meriwayatkan: Bahwa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik dalam membayar hutang.” (Muttafaqun ‘alaih)

Kedua :  Belajar Al-Quran dan mengajarkannya.

Kenapa belajar dan mengajarkan al-Quran akan mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT? Ini adalah kerana tidak ada kitab yang paling baik melainkan kitab al-Quran nul karim. Kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT melalui malaikat Jibril kepada Rasulullah SAW. Di dalam al-Quran mengandungi hukum hakam dan panduan hidup manusia. Al-Quran berbeza dengan kitab-kitab yang lain kerana membaca satu huruf sahaja akan mendapat ganjaran 10 kali ganda. Manusia tidak akan sesat jika berpandu kepada ajaran al-Quran.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “ Orang yang mahir dengan al-Quran akan bersama malaikat yang mulia lagi berbakti. Dan orang yang membacanya dalam keadaan sulit (susah) dan merangkak-rangkak maka baginya dua pahala (kebajikan)”(Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang maksud :“Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada hari akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan :

عَنْ عُثْمَانَ – رضى الله عنه- عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ «خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ» رواه البخاري

Maksudnya: Ustman bin Affan radhiyallahu ‘anhu berkata: Bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Ketiga :  Orang yang paling diharapkan kebaikannya dan paling jauh keburukannya.

Sabda Rasulullah SAW : "Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan kepadanya, Dia akan menjadikannya faham dalam agama." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dengan kefahaman agama yang Allah beri, seseorang itu dapat berbuat amal soleh. Ini juga merupakan kebaikan di dunia kerana hidup akan terisi perkara baik dan tidak terumbang-ambing.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Katakanlah: 'Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu'. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperolehi 'hasanah' (kebaikan). Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas." (Surah Az-Zumar ayat 10)

Nabi SAW telah bersabda, “Sesiapa beriman dengan Allah dan hari kiamat maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa beriman dengan Allah dan hari kiamat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya, sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia bercakap yang baik ataupun diam”. (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan :

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رضي الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَقَفَ عَلَى أُنَاسٍ جُلُوسٍ فَقَالَ « أَلاَ أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِكُمْ مِنْ شَرِّكُمْ ». قَالَ فَسَكَتُوا فَقَالَ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ فَقَالَ رَجُلٌ بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ أَخْبِرْنَا بِخَيْرِنَا مِنْ شَرِّنَا. قَالَ « خَيْرُكُمْ مَنْ يُرْجَى خَيْرُهُ وَيُؤْمَنُ شَرُّهُ …» رواه الترمذى

Maksudnya: Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berdiri di hadapan beberapa orang, lalu bersabda: “Mahukah kalian aku beritahukan sebaik-baik dan seburuk-buruk orang dari kalian?” 

Mereka terdiam, dan Nabi bertanya seperti itu tiga kali, lalu ada seorang yang berkata: “Ya, kami mahu wahai Rasulullah, beritahukanlah kepada kami sebaik-baik dan buruk-buruk kami,” 

Baginda bersabda: “Sebaik-sebaik kalian adalah orang yang diharapkan kebaikannya dan sedangkan keburukannya terjaga…” (Hadis riwayat Tirmidzi dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’. no. 2603)

Keempat : Menjadi suami yang paling baik terhadap keluarganya.

Seseorang mukmin yang berlemah lembut dan menjalankan tarbiah terhadap ahli keluarganya adalah adalah ciri-ciri suami yang baik. Suami yang baik dan bertanggungjawab akan menjadi contoh kepada isteri dan anak-anaknya dalam menguruskan bahtera rumahtangga. Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh yang terbaik sebagai suami dan bapa ketika bersama-sama ahli keluarganya.

Sifat lemah lembut dan tegas ini harus dimiliki oleh suami kerana setiap isteri mengharapkan suaminya mampu menjadi pemimpin dalam rumahtangga yang dibina. Sifat tegas dan lemah lembut ini biarlah kena pada tempatnya.

Dari Abu Hurairah r.a ia berkata: Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : “Pergaulilah kaum wanita itu dengan pergaulan yang lemah lembut, kerana sesungguhnya kaum wanita itu dijadikan dari tulang rusuk dan sesungguhnya tulang rusuk itulah yang sebengkok-benkoknya ialah yang paling atas. Maka apabila engkau hendak meluruskannya, luruskannlah dengan perlahan dan apabila tidak diluruskan, ia sentiasa bengkok selama-lamanya. Oleh sebab itu pergaulilah wanita dengan pergaulan yang lemah lembut”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan :

عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِى. رواه الترمذى

Maksudnya: “Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: Rasulullah Sallallau ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah (suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (Hadis riwayat Tirmidzi dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Ash Shahihah (no. 285)

Kelima : Orang yang paling baik akhlaknya dan menuntut ilmu.

Abu Darda berkata, bersabda Nabi SAW maksudnya : “Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin di hari kiamat daripada husnul Khulq (akhlak yang baik).” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Aisyah r.ha. berkata, “Saya telah mendengar Rasulullah SAW. bersabda, 'Sesungguhnya seorang mukmin yang dapat mengejar budi pekerti yang baik, darjat orang itu sama seperti orang yang terus menerus berpuasa dan solat malam'.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Akhlak yang mulia adalah merupakan tanda dan hasil dari iman yang sebenar. Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai oleh akhlak.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya :  "Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan." (Hadis riwayat Ad-Dailami).

Menuntut ilmu adalah satu kefarduan dan sesiapa yang keluar rumah untuk menuntut ilmu bermakna ia menuju jalan ke syurga.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah sebuah rumah Allah (masjid) untuk membaca Kitabullah dan mempelajarinya di antara mereka, melainkan ketenangan (sakinah) turun kepada mereka, rahmat Allah meliputi mereka, dan Allah menyebut-nyebut mereka di khalayak para malaikat yang berada di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat Muslim, 13/212, no. 4867)

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan :

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- «خَيْرُكُمْ إِسْلاَماً أَحَاسِنُكُمْ أَخْلاَقاً إِذَا فَقِهُوا» رواه أحمد

Maksudnya: “Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata: Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebaik-baik kalian Islamnya adalah yang paling baik akhlak jika mereka menuntut ilmu.” (Hadis riwayat Ahmad dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ .no. 3312)

Keenam : Orang yang memberikan makanan.

Salah satu sifat orang mukmin yang bertakwa adalah membantu golongan yang miskin dan memerlukan bantuan. 

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Siapakah yang mau memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak.” (Surah al-Baqarah (2) ayat 245)

Sabda Nabi SAW maksudnya : ”Barangsiapa memberi makan orang lapar, Allah akan memberinya makanan dari buah-buahan syurga. Barangsiapa memberi minuman kepada orang haus, Allah pada hari kiamat nanti akan memberinya minuman syurga yang amat lazat (ar-rahiq al-makhtum), dan barangsiapa memberi pakaian orang yang telanjang, Allah akan memberinya pakaian syurga yang berwarna hijau (khudhr al-jannah).” (Hadis Riwayat Abu Daud no 1432; Tirmizi no 2373)

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan :

عَنْ حَمْزَةَ بْنِ صُهَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ رضي الله عنه قَالَ: فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ «خَيْرُكُمْ مَنْ أَطْعَمَ الطَّعَامَ» رواه أحمد

Maksudnya: Hamzah bin Shuhaib meriwayatkan dari bapanya radhiyallahu ‘anhu yang berkata: Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah yang memberikan makanan.” (Hadis Riwayat Ahmad dan dihasankan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ . no. 3318)

Ketujuh : Orang yang panjang umur dan baik perbuatannya.

Umur panjang adalah kurniaan Allah SWT kepada manusia yang dipilih-Nya. Jika diberikan umur yang panjang manusia sentiasa mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya maka beruntunglah ia, tetapi jika umurnya panjang tetapi manusia masih tidak sedar diri hidup bergelumangan dengan noda dan dosa, melabur hartanya dalam saham arak, masih suka buat fitnah, masih mempertikaikan hukum-hukum Allah SWT maka jenis manusia seperti ini amat malang kerana dia menempah dirinya untuk masuk neraka. Perlu diingat kelebihan dirinya umur panjang, hartanya melimpah ruah dan sihat tubuh badan adalah merupakan istidraj (kemurkaan Allah) daripada Allah SWT, sampai masanya Allah SWT cabut nyawanya dalam keadaan yang su'ul khatimah dan mengaibkan, nauzubillah.

Sebaliknya pula jika seseorang itu dikurniakan umur yang panjang kemudian banyak amal soleh, amal ibadah, berterusan jihadnya, benci pada maksiat dan fitnah, sentiasa bertaubat dan umurnya dipergunakan untuk agama Allah SWT maka umur seperti ini adalah umur yang diberkati dan dia adalah manusia yang dipilih oleh Allah SWT.

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ بُسْرٍ رضي الله عنه أَنَّ أَعْرَابِيًّا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ خَيْرُ النَّاسِ قَالَ «مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ» رواه الترمذى

Maksudnya: Abdullah bin Busr radhiyallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa ada seorang Arab Badui berkata kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Wahai Rasulullah, siapakah sebaik-baik manusia?” Baginda menjawab: “Siapa yang paling panjang umurnya dan baik amalannya.” (Hadis riwayat Tirmidzi dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Shahihut Targhib wat Tarhib . no. 3363)

Kelapan : Orang yang paling bermanfaat bagi manusia.

Mukmin yang beruntung adalah mukmin yang hidupnya di dunia sentiasa memberi manfaat kepada orang lain. Sentiasa memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan. Perbuatannya, ucapannya, nasihatnya, gerak kerjanya, tulisannya dan pandangannya semuanya membawa kebaikan dan dapat dimanfaatkan oleh orang ramai.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW  bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan :

عَنِ جابر، رَضِيَ الله عَنْهُمَا، قَالَ : قال رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم: خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Maksudnya: “Jabir radhiyallau ‘anhuma bercerita bahwa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Hadis dihasankan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ . no. 3289)

Sahabat yang dikasihi,
Alangkan beruntungnya kita apabila kita termasuk dikalangan lapan golongan yang di panggil oleh Rasulullah SAW sebagai sebaik-baik manusia. Mereka yang beramal soleh dan melakukan amal kebajikan ketika di dunia, dan termasuk di dalam sebaik-baik golongan seperti dihuraikan di atas maka mereka akan mendapat rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT dan akan berbahagia di dunia dan akhirat. 

SAHABAT DAN KAWAN

Tajuk entry kali ini adalah berkisar mengenai sahabat. Ramai orang terlepas pandang (termasuk diri ini) mengenai tanggungjawab seorang sahabat atau kawan. 

Apa beza sahabat n kawan?
*sahabat taraf dia tinggi daripada seorang kawan*

Kata orang, untuk menilai peribadi seseorang itu, lihatlah dengan siapa dia berkawan. 
Jika baik rakannya, maka kemungkinan baiklah perangainya.
Bahkan, rasulullah S.A.W. sendiri pernah bersabda:

“Sesungguhnya sahabat yang soleh itu umpama penjual minyak wangi. Jika kita tidak membeli darinya, tetap kita akan menghidu bau wangi darinya. Sedangkan sahabat yang jahat pula, umpama tukang besi. Walaupun tidak terkena percikan api, tetap kita merasai bahang panas dan terhidu bau busuk darinya”.


Sahabat yang soleh menyenangkan hati kita pabila melihat dirinya umpama minyak wangi yang mengeluarkan bau harum. Manakala, sahabat yang jahat adalah sebaliknya. 
*kalau jahat, tak guna istilah sahabat*




Ini tidak bermakna kita harus menjauhi sejauh-jauhnya daripada  sahabat yang tidak baik itu. Kita dibenarkan berkawan dengan sahabat sedemikian asalkan kita tidak terikut/terpengaruh dengan sikapnya. Adalah menjadi TANGGUNGJAWAB seorang Muslim untuk menyebarkan kebaikan, sesuai dengan konsep amar ma'aruf nahi mungkar. Jangan pula nanti sahabat yang tidak baik itu MENUNTUT haknya di akhirat. Silap-silap kaki kita ditarik oleh mereka ketika hendak melangkah ke syurga.



Tugas menyebarkan kebaikan kepada insan lain ini tidak dinafikan adalah BERAT. Jangan ingat semua orang akan suka. Kadang-kadang, kawan rapat sendiri yang terang-terangan membuat dosa memang sukar untuk diberi teguran. Contoh, tidak menunaikan solat fardu. Memang sukar untuk ditegur, apatah lagi memikirkan implikasi terhadap hubungan persahabatan sekiranya sahabat berkecil hati dengan teguran yang diberi. Sahabat yang menegur hendaklah sentiasa bermanis muka dan menunjukkan contoh yang baik dalam memberi teguran. Teguran hendaklah diberi bertujuan untuk membetulkan dan dilakukan secara personal untuk tidak menjatuhkan air muka sesiapa. Di samping kita menegur sahabat yang tidak baik itu, kita perlu sentiasa berdoa agar Allah membuka hati sahabat yang ditegur untuk menerima teguran dan berubah ke arah kebaikan. InsyaAllah, kita telah berjaya menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.



Berikut adalah beberapa adab berkawan:
  • Mengasihi saudara sesama Islam semata-mata kerana  Allah
  • Mengucapkan salam bila bertemu.
  • Sentiasa menziarahi terutamanya ketika sakit.
  • Sentiasa mendoakan
  • Menolong ketika kesempitan.
  • Memenuhi jemputan
  • Saling memberi hadiah.
  • Tidak memutuskan silaturrahim dan memulaukan.
  • Bertolak ansur dan saling memaafkan.
  • Bermanis muka bila bertemu.
  • Husnudzon (bersangka baik).
  • Jujur dan ikhlas inginkan kebaikan sesama Islam.


Dalam menjaga hubungan persahabatan, bermacam-macam dugaan pasti terjadi. Allah pasti menguji hubungan persahabatan tersebut dengan pelbagai ujian. Oleh itu, persahabatan yang baik memerlukan perhatian dari kita yang sewajarnya dengan menjaga adab-adab dalam berkawan. Sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:



  “Janganlah kamu saling putus-memutus hubungan, janganlah kamu saling berpaling tadah, janganlah kamu saling benci-membenci, janganlah kamu saling berhasad dengki. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Dan tidaklah halal bagi seorang muslim berpaling dari saudaranya lebih dari tiga hari”. 
(HR Bukhari dan Muslim)



Iman kita akan sentiasa turun dan naik. Adakalanya kita mudah untuk melakukan kebaikan dan adakalanya kita begitu liat untuk melakukan kebaikan lantas mudah terpedaya dengan hasutan syaitan. Istilah "putus kawan" mudah dilafazkan ketika emosi sedang marah. Oleh itu, perkara paling berpengaruh dalam menarik kita kembali ke jalan Allah adalah hubungan persahabatan yang dibina kerana mencari redhaNya. Disebabkan persaudaraan sesama Islam ini menjadi luar biasa jika ianya diikat kerana Allah, perkara pertama yang dilakukan oleh rasulullah S.A.W ketika berhijrah ke Madinah adalah menyatukan golongan Ansar dan Muhajirin. Firman Allah yang bermaksud:


  “Dan yang mempersatukan hati mereka(orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua kekayaan yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. (Al-Anfaal:63)



Allah pasti menganugerahkan kemanisan dan kekuatan ukhwah yang dijalinkan kerana Allah. Kita sememangnya bertuah jika mempunyai sahabat yang sedemikian. Jangan mempersia-siakan sahabat kita kerana mereka boleh menarik kita ke syurga Allah, dan mereka juga boleh menarik kita ke neraka dengan tuntutan hak yang tidak kita tunaikan.



Sekian dahulu untuk kali ini. Semoga bermanfaat.
Wassalam

KITA UMAT AKHIR ZAMAN?

"Rasulullah merindui umat akhir zaman" .....****

Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.

Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna. "Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara:

"Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’ baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.

"Malaikat," jawab sahabat.

"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah, sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah. Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, " Para nabi."

"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."

"Mungkin kami," celah seorang sahabat.

"Bagaimana kamu tidak beriman, sedangkan aku berada ditengah-tengah kamu," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu. Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

Begitulah nilaian Tuhan. Bukan jarak dan masa yang menjadi ukuran. Bukan bertemu wajah itu syarat untuk membuahkan cinta yang suci. Pengorbanan dan kesungguhan untuk mendambakan diri menjadi kekasih kepada kekasih-Nya itu, diukur pada hati dan buktikan dengan kesungguhan beramal dengan Sunnahnya.

Pada kita yang bersungguh-sungguh mahu menjadi kekasih kepada kekasih Allah itu, wajarlah bagi kita untuk mengikis cinta-cinta yang lain. Cinta yang dapat merenggangkan hubungan hati kita dengan baginda Rasulullah.

Selawat & salam buat junjungan mulia Rasulullah.s.a.w..."Berselawatlah untukku satu kali, maka Allah akan berselawat untuk nya 10 kali” hadis riwayat muslim(1/288, no.384)

Sabda Nabi SAW “ Dari Ibnu Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Orang yang terdekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” (Hadis Riwayat At-Tarmidzi)

Sabda Nabi SAW : “ Dari Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : Janganlah kamu jadikan kuburku sebagai tempat perayaan dan berselawatlah kepadaku , maka sesungguhnya bacaan selawatmu itu akan sampai kepadaku dimana sahaja kamu berada .“ (Hadis Riwayat Abu Daud)

Ketika berjumpa sahabat handai atau saudara mara sesama Islam . Sabda Nabi s.a.w : “ Tiadalah dua hamba yang saling cinta mencintai kerana Allah yang berjumpa salah seorang yang lain lalu berjabat tangan ( bersalam ) dan berselawat kepada Nabi s.a.w . melainkan Allah mengampuni dosanya sebelum mereka berpisah , baik yang telah lalu ataupun yang akan datang.“ (Hadis riwayat Ibnu Sunni)

Ketika akan memulakan sesuatu pekerjaan yang baik atau penting . Sabda Nabi s.a.w : “ Setiap pekerjaan yang baik yang tidak dimulai dengan hamdalah (memuji Allah) dan selawat , maka pekerjaan atau urusan itu terputus dan hilang barkahnya.“ (Hadis Riwayat Ar-Rahawi)

Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi s.a.w . Sabda Nabi s.a.w : “ orang yang bakhil itu adalah orang yang tidak mahu berselawat ketika orang menyebut namaku di sisinya.“ (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Ketika telinga berdengung . Sabda Nabi s.a.w : “ Jika telinga salah seorang dari kamu berdengung , maka hendaklah ia mengingati dan berselawat kepadaku.“ (Hadis Riwayat Ibnu Sunni)

Ketika mengalami kesusahan dan kebimbangan. Diberitakan oleh Ubay bin Kaab r.a. bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, ujurnya : “ Ya Rasulullah bagaimana pendapat engkau sekiranya aku jadikan selawat untuk engkau semua? Jawap Rasulullah s.a.w “ Kalau demikian Allah akan memelihara engkau baik mengenai dunia mahu pun mengenai akhiratmu.“ (Hadis Riwayat Ahmad)

Setiap waktu pagi dan petang . Sabda Nabi s.a.w : “ Barang siapa berselawat kepadaku waktu pagi sepuluh kali dan waktu petang sepuluh kali , maka ia akan mendapat syafaatku di hari kiamat.“ (Hadis Riwayat Thabarani)

Berdasarkan dari hadis-hadis diatas, jelas bahawa membaca selawat kepada Nabi s.a.w adalah suatu dari rangkaian iman dan ibadah yang wajib disempurnakan oleh kaum Muslimin dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan. Semoga dengan sentiasa berselawat ke atas Nabi, Allah akan memberi rahmat dan keberkatan dalam kehidupan kaum Muslimin.


Fadilat Selawat - untuk renungan

Rasulullah SAW telah bersabda bahawa, "Malaikat Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail A.S. telah berkata kepadaku. Berkata Jibril A.S. : "Wahai Rasulullah, barang siapa yang membaca selawat ke atasmu tiap-tiap hari sebanyak sepuluh kali, maka akan saya bimbing tangannya dan akan saya bawa dia melintasi titian seperti kilat menyambar."

Berkata pula Mikail A.S. : "Mereka yang berselawat ke atas kamu akan aku beri mereka itu minum dari telagamu."

Berkata pula Israfil A.S. : "Mereka yang berselawat kepadamu akan aku sujud kepada Allah S.W.T dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah S.W.T mengampuni orang itu."

Malaikat Izrail A.S pula berkata : "Bagi mereka yang berselawat ke atasmu, akan aku cabut ruh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti aku mencabut ruh para nabi-nabi."

Apakah kita tidak cinta kepada Rasulullah S.A.W.? Para malaikat memberikan jaminan masing-masing untuk orang-orang yang berselawat ke atas Rasulullah S.A.W.

Ayuh jangan kita melepaskan peluang untuk berselawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. Mudah-mudahan kita menjadi orang-orang kesayangan Allah, Rasul dan para malaikat.

Amin Ya Rabbal Alamin.